11/19/2009

KRISIS MCA - NAJIB, TOLONG DAMAIKAN MEREKA !!!

Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa krisis yang semakin meruncing dalam MCA tidak mencerminkan langsung formula perpaduan yang dicanangkan oleh pimpinan parti itu.

"Sebenarnya kalau kita nak cari satu formula perpaduan, maka tindakan kita juga mesti mencerminkan hasrat tersebut. Nampaknya setakat ini, apa yang berlaku dalam MCA tidak memberi keyakinan lagi kepada mereka yang di luar MCA termasuk rakan-rakan komponen," katanya pada para wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur Khamis.

Ini ekoran tindakan terbaru Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat Rabu menggantikan sembilan ahli majlis presiden dengan mengugurkan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyokong Liow.

Kata Najib beliau melihat krisis MCA sekarang telah menjadi lebih serius dan buruk lagi dan kegagalan kepimpinan MCA untuk mencapai penyelesaian setakat ini boleh menyebabkan parti parti itu tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Cina dan kaum-kaum lain pada keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata banyak pihak yang merasa kecewa dengan apa yang sedang berlaku dalam MCA sekarang. Serentak dengan itu Perdana Menteri nampaknya sudah membuat keputusan untuk campurtangan bagi membantu menyelesaikan segera krisis dalam parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional itu.

"Saya akan cari dan luangkan masa untuk berbincang dengan mereka dan lihat jika dapat mencari titik persamaan, kita akan mulakan dari situ," katanya. Menurutnya kemungkinan beliau akan bertemu dengan pemimpin kumpulan-kumpulan berkenaan secara berasingan dan akan cuba berjumpa dengan mereka sebelum 28 November.

Perdana Menteri juga berkata krisis MCA sekarang boleh memberi kesan kepada BN terutama dalam usaha memulihkan imej BN di mata rakyat. "Ya, ini akan menjejaskan usaha kita untuk memulihkan kedudukan BN di mata rakyat. Rakyat kini melihat UMNO sebagai amat stabil dan telah melalui proses transformasi dan memaparkan imej baru kepada rakyat.

"Dan kita berharap parti-parti lain akan dapat bersatu dan mencerminkan hasrat untuk memaparkan imej baru bagi BN," katanya.

UMNO Cawangan Gombak Selatan menyokong sebarang usaha Datuk Seri Najib selaku Pengerusi BN untuk campurtangan dalam krisis sahabat kita dari MCA. Ianya penting bagi memastikan parti ini terus dipelihara dan disokong masyarakat Malaysia.


11/17/2009

MUKHRIZ CALON BARU DUN KOTA SIPUTEH???

Kami amat tertarik dengan pandangan NOBISHA yang disiarkan di blog beliau Beliau telah mencadangkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon BN bagi kerusi DUN Kota Siputeh.

Namun begitu, BN masih lagi sedang membuat rayuan untuk mengekalkan kerusi tersebut. Selebihnya, terpulang kepada pihak mahkamah. Kita sentiasa menghormati keputusan yang akan diberikan. Kerana kita menjunjung tinggi perundangan sedia ada di Negara kita.

Berikut merupakan artikel yang disiarkan oleh NOBISHA.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang menyebelahi Speaker DUN Kedah. Kalau ikutkan keputusan itu, SPR dikehendaki mengadakan pilihanraya kecil N3 Kota Siputeh. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi juga membenarkan penyandang sekarang Dato' Abu Hassan Sharif (BN) membuat permohonan formal bagi menangguhkan hukuman pada Jumaat ini. Selain itu, Abu Hassan juga mempunyai satu lagi pilihan iaitu membuat rayuan. Pada pandangan saya, Abu Hassan akan menggunakan semua saluran undang-undang yang ada bagi mempertahankan kerusi tersebut. Itu adalah sesuatu yang dibenarkan dan biarlah proses itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Bagaimanapun, sekiranya pada akhir proses tersebut Mahkamah masih memihak kepada Speaker DUN Kedah, maka SPR tidak ada pilihan melainkan melaksanakan pilihanraya itu. Beberapa orang sahabat menghantar SMS bertanyakan mengenai calon yang sesuai. Ada juga Ketua Cawangan UMNO di DUN Kota Siputeh yang menelefon saya meminta pendapat. Saya katakan -- dari segi strateginya -- calon yang paling sesuai ialah Dato' Mukhriz Mahathir. Ya, dia ialah Ahli Parlimen Jerlun (DUN Kota Siputeh terletak dalam Parlimen Jerlun; satu lagi ialah DUN Ayer Hitam yang kini dipegang oleh PAS) . Di Bukit Gantang dulu, Dato' Seri Nizar Jamaluddin adalah merupakan ADUN yang kemudian bertanding kerusi Parlimen. Lagi pun, ramai Ahli Parlimen yang juga menjadi ADUN. Tidak ada masalah. Oleh itu, saya tidak melihat apakah masalahnya untuk Mukhriz juga berbuat begitu.
Ada lima alasan utama mengapakah saya mencadangkan Mukhriz:

Pertama, beliau dikenali di situ. Pejabat Ahli Parlimen Jerlun terletak di Padang Sera, iaitu dalam DUN Kota Siputeh. Soal memperkenalkan calon kepada pengundi menjadi lebih mudah. Terdapat seramai 19,771 pengundi di situ, 91.7% berbangsa Melayu, 0.6% lain-lain (kebanyakan berbangsa Siam) dan 0.2% India.

Kedua, sehingga sekarang Mukhriz tidak mempunyai sebarang rekod rasuah atau tuduhan skandal yang memalukan -- sesuatu yang akan diperhatikan sepanjang pilihanraya kecil. Calon bermasalah akan hanya menjadikan jentera parti seperti menanggung biawak hidup.


Ketiga, DUN Kota Siputeh dulunya adalah sebahagian Parlimen Kubang Pasu yang pernah diwakili oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebahagian besar pengundi berusia mempunyai pengalaman dengan Dr Mahathir. Bagi anak-anak muda di situ, sebahagiannya masih melihat Dr Mahathir sebagai pemimpin yang dihormati.


Keempat, Mukhriz mempunyai kredibiliti. Pengalaman sebagai Timbalan Menteri dan ahli korporat (sebelum bertanding dalam PRU12 lalu) akan memudahkan pilihan pengundi.


Kelima, jentera Barisan Nasional boleh memposisikan pilihanraya ini sebagai pemilihan "bakal Menteri Besar Kedah" sekiranya ditakdirkan parti itu mengambil semula Kedah dalam PRU13 nanti; sekaligus menjawab persoalan mengenai kepimpinan UMNO negeri.

Itulah lima alasan mengapakah saya fikir Mukhriz merupakan calon yang paling layak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Kota Siputeh. Adakah beliau pasti akan menang? Dalam pilihanraya, ada menang dan ada kalah. PAS yang tewas dengan 495 undi dalam pilihanraya lalu tentu akan memberikan tentangan yang kuat.

PAS juga ada peluang untuk menang. Usah perkecilkan kemampuan PAS. Sekadar makluman, Pengerusi Tetap PAS Ustaz Kassim Abdullah adalah merupakan penduduk di DUN Kota Siputeh (Kampung Kodiang Lama) dan cukup berpengaruh di sana.
Bagaimanapun, saya percaya Mukhriz sebagai calon Barisan Nasional akan lebih memudahkan parti itu menghadapi PAS dalam pilihanraya DUN Kota Siputeh!


11/16/2009

KONFLIK DALAMAN PAS - SALAH UMNO JUGAK... UMNO LAGI...

Tiada masalah, kalau sebelum ini beliau ahli UMNO tetapi sudah jadi ahli PAS, keahliannya dalam UMNO automatik gugur, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Bagaimanapun katanya Ibu Pejabat UMNO sedang menyemak status Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, yang didakwa penulis blog kickdefella adalah ahli UMNO cawangan Chakung di Bahagian Machang dengan nombor keahlian 0266057.

Ariffahmi adalah menantu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Beliau bagaimanapun menafikannya dengan memaklumkan nama beliau didaftarkan sebagai ahli UMNO lama dulu tanpa pengetahuannya.

Menurut laporan Malaysia Insider, Ariffahmi mengaku menyertai PAS pada 1997 dan memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa PAS Bahagian Machang. Menurut Tengku Adnan, UMNO sedang selidik status Ariffahmi dan dakwaan itu.

“Belum pasti (jadi ahli UMNO). Masih lihat. Biasanya buang atau automatik gugur jika dai sudah mengaku jadi ahli PAS seumur hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan meminta perkara itu termasuk ada usaha dalaman PAS mahu mengulingkan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dikaitkan dengan UMNO. “Tiada kena mengena dengan UMNO. (Mereka) gila kuasa sebab itu nak gulingkan Haji Hadi,” tegasnya.


11/13/2009

BA'IAH OH BA'IAH - MANA 1 YANG BETUL NI?

Cerita Bai’ah hingga jatuh talak tiga dalam PAS semakin bercelaru. Pimpinan parti kata tidak pernah ada arahan Bai’ah seperti itu tetapi ada wakil rakyat parti mengaku amalan itu memang ada.

Pendedahan rakaman video pengakuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol Perak Ramli Tusin jelas menyebabkan pemimpin PAS mula terasa bahang yang bakal membakar mereka sendiri.

Lebih menarik, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada Khamis berterus terang amalan Bai’ah memang ada tetapi Bai’ah hingga terjatuh talak tiga jika wakil rakyat PAS lompat parti adalah pilihan.

Beliau yang ditemui di Lobi Parlimen bersetuju bahawa Bai’ah wajib dalam PAS tetapi Bai’ah talak tiga adalah pilihan bagi seseorang wakil rakyat itu mengukuhkan pendirian jika ditawar wang ringgit untuk lompat parti.

“Ia atas sikap dan pendirian kita. Siapa yang ambil (buat) saya tak boleh nak kata. Bagi saya bila berdepan isteri dan mereka faham taklik ini, mereka juga ada keyakinan dan akan rayu kita supaya jangan khianat,” ujarnya.

Khalid menegaskan bahawa beliau tiada masalah berbai’ah talak tiga sebab dapat kukuhkan pendirian untuk terus setia pada parti. “Saya tak nak cerai, saya tak akan khianat..ia jadi pegangan supaya kita tak buat benda yang dashyat ini (terima sogokan lompat parti),” katanya.

Beliau menegaskan tidak akan menarik balik Bai’ah yang dilakukan selepas pilihan raya umum lalu. Ditanya, kalau ada wakil rakyat yang hendak berubah angin atau keluar parti, Khalid menjelaskaan bahawa mereka perlu letak dan serah jawatan pada parti.

Khalid menyifatkan Bai’ah itu ibarat bakar kapal tetapi bukan bunuh diri. “Ini jaminan apabila kita berdepan sogokan berjuta ringgit..ada ini (Bai’ah talak tiga) kita fikir dua kal dan bini mungkin 100 kali ..ini satu itndakan pilihan yang saya sendiri buat dengan janji pada diri,” katanya. Mengulas pengakuan Adun Semanggol, Khalid tidak tahu menahu perkara itu tetapi percaya jika benar, maksud wakil rakyat itu berbuat demikian sama sepertinya.

Sementara itu Naib Presiden PAS Salahudin Ayob sekali lagi menegaskan pendirian bahawa PAS Pusat dan Majlis Syura tidak pernah mengeluarkan arahan rasmi mengenai Bai’ah talak tiga ini. “Yang ada hanya Baiah ikrar taat setia kepada parti. Kita akan siasat bagaimana timbul masalah itu. Itu bukan dari PAS Pusat,” katanya.

Salahuddin menganggap isu ini perkara kecil dan diperbesarkan media. “Benda ini kecil, bukan isu besar sangat, cuma bila media laporkan setiap hari, ia jadi isu,” katanya. Bagaimanapun selepas diasak soalan mengenai pengakuan Khalid dan Ramli, Salahuddin menegaskan, parti akan menyiasat perkara itu.

Pengakuan dua wakil rakyat PAS ini bakal mencetuskan polemik baru dalam PAS dan sudah ada pihak mula mempersoalkan dan meragui kenyataan Salahuddin sebelum ini bahawa di peringkat Pusat dan Majlis Syura tidak pernah mengeluarkan arahan Bai;ah talak tiga.

Persoalan yang boleh ditafsirkan, pemimpin PAS manakah yang benar dan siapakah pula yang berbohong dalam isu ini? Entahlah, ingat lepas Seminar masalah selesai. Rupa-rupanya makin celaru. Betul kata Datuk Seri Zahid Hamidi, doa mereka pada UMNO kini berbalik pada mereka.


11/11/2009

BA'IAH - PERANG 'LAKI' 'BINI' PAKATAN,ZULKIFLI WAJAR 'CERAI' TALAK 3.

Nampaknya isu Ba'iah ini telah membawa pergaduhan besar antara Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin.

Jika melihat dan mendengar kedua-dua mereka saling berkeras mengecam satu sama lain dalam sidang media berasingan di lobi Parlimen, petang Selasa. Khalid yang lebih awal mengadakan sidang media mengakui beliau tersilap menulis isu Baiah di blognya sehingga mencetuskan kontroversi di kalangan pemimpin PAS dan mendapat macam-macam reaksi termasuk di pihak sekutu dalam pakatan pembangkang - PKR.

Beliau mempertahankan isu itu sebagai soal peribadi antaranya dengan Tuhan. “Tidak wajar saya cakap lagi. Bukan saya besarkan (Bai’ah jatuh talak tiga). Saya dimaklumkan orang lain. Silap saya ceritakan benda ini pada orang lain,” kata Khalid mahu menutup isu yang dibangkitkan minggu lalu.

Beliau tiba-tiba tarik brek dengan kenyataan itu setelah pimpinan tertinggi PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursydul Am Datuk Nik Abdul Aziz menafikan PAS ada mengamalkan Bai’ah sehingga jatuh talak tiga jika wakil rakyat parti itu lompat atau keluar parti.

Pada awal pagi Selasa ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen, Hadi mengelak menjawab itu tersebut. “Cukup-cukup...saya sudah jawab sebelum ini..tak ada,” katanya sambil menunjukkan isyarat tangan.

Khalid barangkali sudah tertekan dengan kenyataan yang mula ‘makan diri’ akhirnya turut angkat ‘bendera putih’ mengakui beliau silap dengan pendedahan isu Bai’ah. Namun dalam sidang media sama, Khalid tiba-tiba menghalakan serangan kepada Zulkifli yang menulis di blognya mendakwa ada isteri wakil rakyat mengigil dan menangis mendengar perkahwinan mereka diperjudikan menerusi Bai’ah.

Khalid mempersoal kenyataan Zulkifli yang katanya beliau bukan orang PAS. Beliau menegaskan sebagai ahli parlimen, Zulkifli tidak sepatutnya membuat kenyataan tanpa usul periksa itu.

Beliau meminta ahli parlimen PKR itu bertanggungjawab dengan kenyataan itu dan mencabar Zulkilifi mengemukakan bukti atau tarik balik kenyataan bahawa ada isteri wakil rakyat mengigil mendengar suami mereka berbai’ah dengan jatuh talak tiga.

“Saya tak tahu sumber mana dia (Zulkifli) cakap..dia tiada di sana (majlis Bai’ah wakil rakyat PAS),” tegas Khalid. Lebih pedih lagi, beliau berkata, sebab itulah Zulkifli tidak dipilih sebagai calon oleh PAS.

Beliau merujuk bahawa Zulkifli sebelum pilihan raya umum 2009 adalah seorang pemimpin PAS tetapi bertanding tiket PKR pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Kenyataan beliau mengundang kemarahan Zulkifli yang mengadakan sidang media sebalik selesai sidang media Khalid. Malah ketika Khalid beredar dan berselisih dengan Zulkifli, kedua-dua mereka saling tidak menoleh atau bertegur sapa.

Sidang media Zulkifli asalnya bertujuan untuk member penjelasan mengenai kenyataan Naib Presiden PKR R.Sivarasa yang mendakwa teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan konvensyen PKR di Pulau Pinang Ahad lalu mengenai pemimpin PKR yang tidak ikut polisi parti ditujukan pada Zulkifli.

Bagaimanapun, selepas ditanya pendapatnya mengenai isu Bai’ah dan kenyataan Khalid yang memperlekeh beliau, giliran Zulkifli pula ‘ angin satu badan’. Jawab Zulkifli, Khalidlah yang tidak diterima oleh PAS sebab itu beliau kalah dalam pertandingan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dalam pemilihan parti itu yang lalu.

Katanya, pada pilihan raya 1999, Datuk Fadzil Noor mencadangkan beliau jadi calon PAS bertanding di kerusi parlimen Baling tetapi beliau memberi laluan kepada Datuk Taib Azamuddin.

“Pada pilihan raya 2004, saya dicalonkan di Tanjung Karang. Pada mulanya saya terima tetapi bila dapat tahu akan lawan (Datuk Seri) Noh Omar saya tolak sebab beliau kawan saya,” ujarnya.

Menyentuh isu Bai’ah, Zulkifli menganggap Khalid sudah tersepit dan mahu menyalahkan orang lain. “Saya pada mulanya tidak percaya (Bai’ah talak tiga), Saya meminta sahabat-sahabat wakil rakyat PAS mengesahkannya. Saya sangat terkejut apabila sahabat-sahabat wakil rakyat dan kepimpinan parti tersebut mengesahkan bahawa mereka sendiri telah pun mengangkat Baiah tersebut," ujarnya.

Malah kata Zulkifli, ada di antara mereka menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil semasa mengangkat Baiah tersebut. "Yang paling sedih, ada di antara isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis Baiah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud.

"Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi. Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian dan kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik." soal beliau.

Katanya, PAS tidak boleh ‘sumbat’ isu itu bawah karpet manakala Khalid jika mahu lepas tesepit jangan pula tunding jari pada orang lain. Menurut Zulkifli, beliau bukan tidak setuju dengan Bai’ah tetapi tidak setuju ia dikaitkan dengan perceraian.

“Mana boleh kita mangsakan pihak ke tiga dalam hubungan kita dengan orang lain..mana boleh,” tegasnya. Katanya, dalam undang-undang Inggeris, pihak berkontrak tidak boleh berkontrak memangsakan pihak ke tiga apatah lagi dalam Islam yang amat membencikan perceraian.

Beliau mahu PAS mengakui kesilapan ini dan perbetulkan perkara ini bukannya sumbat bawah karpet. “Benda ini terang-terang salah, kita menganiaya wanita...isteri jadi mangsa.You khianat kat parti yang jadi mangsa isteri, apa punya orang ni...yang jadi mangsa anak-anak dan isteri. You boleh kahwin lain la..ahli parlimen macam Khalid barangkali seronoklah... boleh kahwin lain agaknya,” tegasnya.

Zulkifli sekali lagi menegaskan pendedahan isu Bai’ah dibuat Khalid sendiri dan cuba menyalahkan orang lain adalah perbuatan tidak bermoral dan tidak mencerminkan seorang pejuang Islam.


11/10/2009

ISU BA'IAH - PAS GILA TALAK, TAKUT 'BINI' LARI !!!!

Isu Bai’ah – sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri membabitkan wakil rakyat PAS yang ‘lompat atau keluar’ parti terus jadi tumpuan media selepas perkara itu didedahkan ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad minggu lalu.

Malah, pada Seminar Khas Memperkasakan Parti oleh PAS Sabtu lalu, isu itu turut dibangkit tetapi Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan Bai’ah dalam PAS sehingga isteri tertalak tiga. Kerana kecelaruan disebabkan ada kata PAS amalkan Bai’ah dan ada pula menafikannya, beberapa wakil rakyat parti itu menjadi buruan media di Lobi Parlimen, Isnin.

Selepas beberapa orang ditanya soalah tentang kebenaran amalan itu, jawapannya masih pusing-pusing kerana ada yang kata ya dan ada pula kata tidak.

Bekas Naib Presiden dan kini angggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa ketika menjawab isu itu membayangkan amalan Bai’ah memang ada malah beliau mempertahankan Bai'ah yang wujud dalam parti itu. Cuma Exco Kerajaan Kelantan itu memberi alas an, Bai’ah bertujuan mengelak wakil rakyat mereka dibeli oleh UMNO.

Beliau menyorot kembali kononnya ketika PAS mentadbir Kelantan dengan perbezaan satu kerusi, wakil rakyat parti itu dikatakan ditawar wang ringgit untuk ‘lompat’ serta Barisan Nasional tetapi dengan Bai’ah ini, perkara itu tidak berlaku.

"Saya rasa isu Bai'ah dibangkitkan oleh UMNO sebab mereka tahu mereka tidak boleh rampas wakil rakyat PAS. Kalau kita menang atas tiket mana-mana (parti) kemudian kita lompat parti lain, ini salah dari segi hukum. Bai'ah ini ialah bagi mempertahankan amanah ini," katanya yang hadir di Parlimen untuk mendengar penggulungan kerajaan selepas perbahasan Bajet 2010.

Husam berkata tidak ada hukum menyatakan Bai'ah itu salah dan beliau sendiri secara sukarela menerimanya bukan bertujuan menganiaya kaum wanita.. Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, beliau berdolak dalih ketika ditanya wartawan kebenaran amalan Bai’ah di kalangan pemimpin parti itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan bahawa di Kedah pemimpin atau wakil rakyat PAS tidak pernah diminta melafazkan ikrar Bai'ah atau cerai talak tiga seperti didakwa oleh Khalid.

"Isunya sekarang ialah tiada siapa yang mahu menceraikan isteri malah nak tambah lagi adalah, dan tidak ada arahan pun untuk berbuat demikian. Kami juga tidak tahu kerana di peringkat pusat pun tidak ada arahan seperti ini," katanya.

Ahli Parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo Lo Ghazali ‘tutup mulut’ bila diaju soalan mengenainya amalan Bai’ah .Beliau memberi alasan mendapat maklumat bahawa Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali akan buat penjelasan.

Namun, seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayob mempunyai jawapan lain. Mengenalinya, beliau memang seorang yang amat berhati-hati menjawab isu berkaitan parti itu. Jawapan selamatnya adalah Majlis Syura PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang dasar menghendaki pemimpin-pemimpin parti itu melafazkan Bai'ah iaitu sumpah taat setia seperti akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti.

"Secara rasminya tidak ada kenyataan atau arahan daripada Majlis Syura tentang perkara ini. Tunggulah jawapan rasmi daripada majlis itu," katanya. Beliau berkata Bai'ah memang dilakukan oleh pemimpin parti pada hari pertama mereka memegang jawatan tetapi ia sama seperti sumpah jawatan dan simpan rahsia, tetapi bukan seperti yang didakwa.

Disebalik perbezaan pendapat kalangan pemimpin PAS ini, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin tidak bersetuju tindakan PAS menggunakan Bai'ah talak itu kerana menganggapnya seolah-olah memperkecilkan kedudukan wanita.

Kata Ahli Parlimen Ampang itu, kaum wanita yang menjadi isteri kepada wakil rakyat PAS tidak sepatutnya dijadikan cagaran kerana ada antara mereka tidak terlibat dalam perjuangan parti itu. "Bai'ah memperkecilkan kedudukan wanita, hakikatnya kita faham sekarang bahawa ada kaum perempuan dan isteri-isteri wakil rakyat yang tidak terlibat dengan perjuangan parti. Mengapa isteri yang menjadi sasaran," katanya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, dalam Islam memang ada lafaz taklik dalam perkahwinan tetapi hanya jatuh talak satu jika sabit kesalahan terhadap suami.

Katanya, dalam isu ini sama ada taklik atau Bai’ah, ianya akan menyebabkan ikrar disudut hukum dan jatuh talak jika berlaku pelanggaran syarat tertentu.

“Moral dari cakap-cakap seperti ini (isu Bai’ah dalam PAS) saya melihat institusi keluar sewenang-wenangnya diletakkan dalam keadaan begitu mudah dipermainkan. Persoalan besar isu ini adalah untuk mempertahankan dokongan parti politik, diperjudikan keluarga sendiri dan penganiayaan pada wanita," katanya.

Beliau yang turut jadi tumpuan media di Lobi Parlimen menjelaskan, Dewan Ulama dan Muslimat PAS perlu menjelaskan perkara ini sama ada benar atau tidak Bai’ah sehingga jatuh talak tiga terhadap isteri diamalkan pemimpin parti itu.

“Kalau ada kebenaran seperti disebut ini, isteri mahupun anak perlu diberitahu kerana nasib mereka diperjudikan begitu rupa. Dalam Bai’ah (PAS) ia bukan seperti talak satu dalam taklik sebalik talak tiga menyebabkan terputus hubungan dengan suami serta pengabaian terhadap anak-anak,” katanya.

Ditanya sama ada perkara ini perlu dibincangkan di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jamil Khir berkata, beliau perlu terlebih dahulu mendengar penjelasan PAS mengenai kebenaran dakwaan amalan itu.

Persoalannya sama ada benar atau tidak Bai’ah jadi amalan dalam PAS, jelas ini satu lagi bukti Islam diperalatkan parti itu malah nasib wanita diperjudikan bagi kepentingan parti.

Pemimpin PAS khususnya Ketua Dewan Ulama, Majlis Syura mahupun Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat perlu jujur memberi jawapan terhadap isu ini.


11/08/2009

Seminar Perkasa PAS - NIK AZIZ MERAJUK, MASALAH BERTAMBAH CELARU.

Lupakan cerita tentang kerajaan perpaduan atau kerjasama UMNO – PAS kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu mengulangi bahawa parti itu menutup pintu rapat-rapat mengenai kerjasama itu.

Malah dalam Seminar Memperkasakan Parti bagi menggantikan cadangan Muktamar Agung Khas (EGM) di Markas PAS Pusat Taman Melewar Gombak, beliau menegaskan, PAS akan terus bersama-sama dalam pakatan DAP dan PKR dengan matlamat menang besar dalam pilihan raya umum ke 13.

Namun apa yang menarik dalam seminar julung kali itu, Prof Dr Abdul Aziz Bari serta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikecam dan dikritik gara-gara isu mahu menyingkirkan beberapa pemimpin kanan parti itu termasuk menggantikan Abdul Hadi.

Abdul Aziz, Pensyarah Kanan Undang-Undang UIAM melalui tulisannya di sebuah akhbar harian dan interbiu dengan sebuah portal berita mengkritik kepimpinan Abdul Hadi. Beliau turut mencadangan supaya Naib Presiden, Nasaruddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohi Ali dikenakan tindakan kerana tindak tanduk yang dilihat tidak membantu mengukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Pandangannya kemudian mengheret Mursyidul Am PAS itu yang menulis perkara sama di blognya yang mahu ‘dua tiga kerat’ pemimpin tersebut dihukum hingga tercetus desakan supaya EGM diadakan.

Sebahagian besar perwakilan di seminar itu mengecam Dr Abdul Aziz yang dianggap orang luar parti tetapi dianggap sengaja mencetuskan polimik dalaman parti itu. Ada antara mereka menganggap beliau mahu menjatuhkan presiden PAS dengan kritikan, tuduhan dan penghinaan.

Ramai juga perwakilan melenting kerana dalam seminar itu Dr Abdul Aziz membuat kenyataan tidak sama seperti dilaporkan akhbar dan portal berita tersebut apatah lagi beliau turut menyalahkan media.

Tersepit dengan asakan perwakilan, beliau cuba menarik simpati dengan menyatakan kini dirinya sudah hilang kawan kerana orang UMNO sudah mula menjauhinya dan sekarang ini, PAS pula menimbang untuk menerimanya ataupun tidak.

Beliau turut menafikan dakwaan kritikannya terhadap Abdul Hadi Awang sebagai satu penghinaan kepada presiden parti itu yang disifatkan bertaraf ulama. "Saya tidak menghina ulama ataupun presiden parti. Siapalah saya untuk persoalkan perkara ini. Saya hanya sentuh kedudukannya sebagai kapten yang mengemudi parti," katanya sambil menambah bahawa beliau hanya melontar semula cakap-cakap dalam PAS mengenai Hadi, Nasaruddin dan Dr Hasan.

Kejutan lain apabila perwakilan negeri Johor, Suhaizan Kayat menegur Nik Aziz kerana menunjukkan sikap kurang baik dalam struktur organisasi dengan penulisan di blog peribadinya menghentam ‘dua tiga kerat’ tersebut dengan menyiarkan nama mereka.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu tiada ketika perbahasan dan hanya hadir kira-kira sejam pada perasmian dan ucaptama presiden pada sebelah pagi Beliau yang dijadualkan menutup seminar yang dijadiri kira-kira 1,000 perwakilan pada sebelah petang tidak hadir kerana uzur dan masih kurang sihat selepas keluar Institut Jantung Negara, semalam.

Seminar yang pada awal dijangka memberi tamparan hebat kepada Hadi, Nasaruddin dan Dr Hasan itu juga sebaliknya menjadi gelanggang perwakilan menyatakan rasa tidak puashati dengan parti sejak bersama pakatan pembangkang.

Perwakilan dari Negeri Sembilan, Khairul Anuar Wafa mahu PAS menentukan hala tuju parti itu dalam Pakatan Rakyat kerana ketika ini PAS tanpa matlamat berbanding parti mempertahankan Islam sebelum ini.

Lebih perit katanya, sejak PAS bersama PKR dan DAP, ruang parti itu bercakap hak Melayu Islam juga sudah terhalang. Kesimpulan seminar ini menjadi senjata yang makan tuan kepada Nik Aziz yang mahu PAS memantapkan kerjasama dalam pakatan pembangkang begitu juga dengan Abdul Aziz yang mahu Hadi dan beberapa pemimpin lain dihukum.

Sebaliknya, hasil seminar itu memberi keuntungan kepada Hadi dan barisan kepimpinan beliau yang di pilih pada Muktamar Agung PAS Jun lalu kerana kedudukan mereka semakin mantap jika keputusan seminar tersebut diteliti.

Isu Nasaruddin dan Mustafa langsung tidak berbangkit kecuali Dr Hasan apabila dijadikan rujukan berkaitan hubungan tegang pakatan rakyat di Selangor kerana kenyataan beliau mengenai isu penjualan arak dan Selcat.

Keyakinan Hadi dengan barisan pimpinannya jelas diluahkan beliau dalam penggulungan seminar itu apabila menegaskan, beliau tidak akan meletak jawatan walaupun terdapat gesaan beberapa pihak agar berbuat demikian.

Katanya, sebagai pemimpin yang dipilih secara sah, beliau tidak akan sekali-kali meninggalkan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk memimpin PAS.

"Pemimpin dipilih melalui muktamar parti, pemimpin adalah amanah. Saya tidak akan membuang baju amanah ini... insyaAllah kita akan mengharungi gelombang perjuangan ini," katanya. Menjawab kritikan terhadap pimnpinannya, Abdul Hadi berkata, “ "Kita ibarat orang-orang yang ada di medan atau padang bola, yang lain daripada kita adalah penonton dan pengulas. Walaupun ada teguran yang keras, suruh pecat kapten, buang pengurus, buang pemain, kita belum lagi habis separuh masa pertama.

"Kita adalah kalangan profesional dalam bidang ini, bukan pemain-pemain kampung," katanya. Dalam sidang media selepas seminar itu berakhir, Abdul Hadi sekali lagi berkata sokongan yang diberikan oleh para perwakilan yang hadir dari seluruh negara menambahkan lagi keyakinannya untuk berkhidmat kepada parti.

"Kita akan terus memikul tanggungjawab yang sepenuhnya, hari ini kita mendapat kepercayaan daripada perwakilan yang datang dari seluruh negara, ini menambahkan lagi keyakinan," katanya.

Apa yang mahu dilihat selepas ini, apakah kumpulan yang mahu melihat Hadi, Nasaruddin dan beberapa pemimpin lain tersingkir daripada saf kepimpinan parti dapat menerima keputusan seminar tersebut. Jika tidak, PAS pasti bergolak selagi kumpulan Erdogan yang pro Anwar Ibrahim belum dapat menguasai parti itu.

Nampaknya doa PAS terhadap UMNO selama ini telah terkena pada mereka. Doa mereka untuk melihat UMNO berpecah belah kini terkena pada mereka. Akibat sikap angkuh PAS yang tidak mahu menyatupadukan Islam di Malaysia tanpa mengira ideologi politik, mereka sesama mereka yang berpecah. Buat pembaca, tepuk dada, tanyalah hati anda.

11/07/2009

WANG EHSAN - BERI SALAH, TAK BERI PUN SALAH !!!

Sebelum memulakan bicara kami dari pihak UMNO Cawangan Gombak Selatan memohon maaf kerana telah sekian lama tidak mengemaskini blog kami ini. Antara puncanya adalah disebabkan gangguan dari pihak luar yang cuba mengganggu perjalanan blog kami ini. Orang ini yang sudah tentu dari pihak pembangkang nampaknya tidak senang dengan kehadiran kami di dalam arena blogger di Malaysia.

Tapi kami kini kembali. Kami akan terus memberi penerangan kepada rakyat Malaysia mengenai perjuangan BN dan menjawab segala dakyah-dakyah dari pihak pembangkang.

Berbalik mengenai artikel kami pada hari ini. Senang cakap, beri salah tak beri pun salah.

Pembangkang cuba mempolitikan isu pemberian wang ehsan kepada Kelantan hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai seperti diumumkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Rabu lalu Mereka bangun mencelah meminta Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan kenapa Kelantan diberikan wang ehsan bukannya royalti seperti dituntut kerajaan negeri itu sebelum ini.

Malah ahli parlimen PAS Kubang Kerian Salahuddin Ayob yang mengemukakan soalan asal mengenainya turut bangun kerana tidak puas hati dengan pengumuman Najib dengan alasan rakyat Kelantan berhak menuntut hak mereka melalui royalti bukannya minta sedekah dengan pemberian wang ehsan. “Ini nak politikkan isu. Tak habis-habis dengan politik dia (pembangkang),” ujar Najib.

Menurut beliau, yang penting kerajaan sediakan dana ini untuk beri manfaat kepada rakyat Kelantan sama macam Terengganu. Suasana Dewan terus tegang dengan beberapa wakil pembangkang lain antaranya ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad dan PAS Kuala Selangor Dr Zulkifli Ahmad turut bangun minta penjelasan sama.

Ahli parlimen BN Sri Gading Datuk Mohamad Aziz bangun cuba meredakan keadaan dengan soalan tambahan tetapi Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua ahli parlimen duduk.

“Kalau ada Yang Berhormat berdiri lagi, saya akan suruh ‘rehat’ ( keluar ) sejam dua jam,” katanya. Pandikar Amin menegur pembangkang yang ’syok sendiri’ kerana tidak mahu mendengar jawapan Perdana Menteri.

“Yang Berhormat...kalau Perdana Menteri tak datang, Yang Berhormat mahu beliau datang tetapi bila beliau datang jawab soalan, Yang Berhormat tak mahu dengar,” katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Salahuddin, Najib berkata, kerajaan telah meneliti tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan Kelantan dengan mendalam dan terperinci dari pelbagai sudut termasuk perundangan.

Disegi undang-undang katanya, Kelantan dan Terengganu hanya mempunyai hak menuntut royalti bagi sumber petroleum yang dihasilkan daripada perairan negeri itu yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika diukur dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut.

Menurut Najib, pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dalam kawasan peraiiran Kelantan dan Terengganu dan disegi undang-undang, Kelantan tiada hak menuntut pembayaran royalti seperti juga Terengganu.

“Meskipun peruntukan perundangan ini jelas, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan wang ehsan untuk Terengganu dengan mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri itu serta pertimbangan berasaskan keperluan pembangunan negeri Terengganu serta tahap pendapatan rakyatnya,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, pemberian wang ehsan kepada Kelantan juga mengambil kira keperluan untuk terus membangun Kelantan dan juga meningkatkan kesejateraan rakyatnya selaras arus pembangunan perdana negara.

“Petronas memaklumkan bahawa pada masa ini hanya terdapat sebuah medan petroleum yang mengeluarkan hasil di luar pesisir pantai Kelantan di medan Bumi Selantan dalam Blok PM301,” katanya.

Beliau memberitahu, pemberian wang ehsan itu mengambil kira pengeluaran dan penjualan petroleum di tempat berkenaan dan peruntukan pertama wang ehsan bagi Kelantan dijangkakan pada tahun 2010.

Katanya, peruntukan itu akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan serta program pembasmian kemiskinan dalam negeri Kelantan yang dilaksanaakan secara telus oleh Kerajaan Persekutuan setelah berunding dengan kerajaan negeri Kelantan.

Bercakap pada sidang media kemudiannya, Najib berkata, jumlah wang ehsan itu tidaklah besar dan bergantung kepada pengeluaran. Katanya, sebelum ini pun melalui RMK 9, Kelantan menerima peruntukan RM7 bilion. “Apa yang penting rakyat Kelantan dapat manfaat selaras pendekatan inklusif dan semangat Satu Malaysia,” katanya.

Komen kami? Tepuk dada, tanya hati..